fb fb fb fb fb

Pamer aksi berbahaya, 50 penunggang motosikal ditahan

GEORGETOWN, 8 Mei- 50 buah motosikal milik sekumpulan “mat rempit” berjaya disita polis di Jalan Pantai Seagate dekat Bayan Lepas, pagi tadi.

Ia susulan mereka menimbulkan gangguan bunyi serta mempamerkan lagak berbahaya semasa menunggang motosikal.

Cubaan kesemua penunggang motosikal terbabit untuk meloloskan diri juga gagal susulan laluan dari arah Batu Maung menuju pusat bandar dikepung pasukan polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Supritenden Zafri Zolkapli berkata operasi tersebut dijalankan selepas mendapat aduan dari orang awam yang tidak tahan dengan gangguan bunyi tersebut.

"Susulan aduan daripada orang awam mendapati bahawa ramai penunggang menunjukkan aksi berbahaya memandu ala superman, meniarap, mengangkat kedua tayar. Aksi ini membahayakan orang awam dan diri di sendiri. Di samping itu juga, penunggang motosikal tersebut turut membuat bunyi bising dengan memulas pendikit minyak sekali gus telah menimbulkan bunyi bising dan mengganggu ketenteraman awam," kata Zafri ketika ditemu bual RTM.


(Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Supritenden Zafri Zolkapli menjelaskan perkara
itu kepada media sejurus selepas operasi terbabit)

Jelasnya, kawasan tersebut merupakan antara kawasan panas yang menjadi tumpuan “mat rempit’ melakukan aksi berbahaya kerana keadaan jalannya yang panjang dan lurus.

Kesemua yang ditahan dipaksa menolak motosikal masing-masing dari lokasi ditahan sehingga ke Balai Polis Bayan Lepas.

Media Baharu