fb fb fb fb fb

Pakar Perubatan Kecemasan ditempatkan di 10 hospital tanpa pakar pada Ogos

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad

TAPAH, 10 April -Kementerian Kesihatan (KKM) akan menempatkan pakar perubatan kecemasan di 10 buah hospital tanpa pakar di seluruh negara secara berperingkat, selewat-lewatnya Ogos ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada sasaran KKM untuk memastikan sekurang-kurangnya seorang pakar perubatan kecemasan ditempatkan di setiap hospital dalam tempoh tiga tahun.

Usaha itu bertujuan meningkatkan perkhidmatan kecemasan kepada penduduk setempat dengan lebih berkesan.

Antaranya ialah Hospital Tapah, Hospital Batu Gajah, Hospital Seri Iskandar, Hospital Sabak Bernam, Hospital Sungai Siput, Hospital Tumpat, Hospital Alor Gajah, Hospital Jasin dan Hospital Pasir Mas.

"Salah satu usaha saya, untuk menjadikan keinginan pesakit dan warga di sekitar hospital-hospital ini supaya tidak hanya pergi kepada hospital-hospital berpakar atau berpakar minor, adalah untuk meletakkan paling tidak dua pakar di hospital tanpa pakar," kata Dr Zulkefly.

Beliau ditemui media pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Ramah Mesra bersama Warga Kerja Kesihatan Daerah Batang Padang di Hospital Tapah.

Katanya, usaha tersebut melibatkan penempatan seorang Pakar Trauma dan Pakar Perubatan Am di setiap hospital terlibat.

Setakat hari ini, KKM telah menempatkan Pakar Perubatan Kecemasan di 15 buah hospital tanpa pakar dan hospital daerah di beberapa negeri.

Antaranya hospital Jitra, Kuala Nerang, Sik, Yan, Sungai Bakap, Balik Pulau, Kuala Kangsar, Tapah, Sabak Bernam, Kuala Kubu Baharu, Alor Gajah, Jasin, Cameron Highland, Pasir Mas, Pasir Putih dan Limbang di Sarawak.

TETITIA YUSOFF