fb fb fb fb fb

KPKT lulus RM6.13 juta untuk 33 projek pembangunan di Tapah

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

TAPAH, 10 April - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM6.13 bagi 33 projek pembangunan dan infrastruktur awam, di sini.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, kelulusan peruntukan itu adalah bawah Program Sentuhan Kasih 3.0 yang menjadi jumlah tertinggi dalam sejarah.

Katanya peruntukan tersebut merangkumi 16 projek bawah seliaan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), 10 projek Bahagian Kampung Baru Cina (BKBC), dua projek Jabatan Landskap Negara (JLN), tiga projek Jabatan Perumahan Negara (JPN), dan dua projek Bahagian Kesejahteraan Komuniti (BSK).

Pelaksanaan projek tersebut bertujuan meningkatkan kemudahan awam dan kesejahteraan masyarakat di Tapah.

"KPKT komited untuk pastikan bahawa setiap daripada jumlah RM6.13 juta saya mahu sarankan perlu ada Return on Investment (ROI) dan ia perlu menepati piawaian, garis panduan KPKT," kata Nga Kor Ming kepada pemberita selepas melawat Projek Naik Taraf Gerai dan Tandas di Pasar Awam Tapah Road sempena siri lawatan kerjanya ke Tapah.

Peruntukan yang diluluskan KPKT adalah berasaskan prestasi bagi memastikan penambahbaikan infrastruktur awam dan perkhidmatan KPKT dapat terus dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat.

Sementara itu Nga Kor Ming memaklumkan kerja-kerja pemulihan pasca insiden di Putra Heights kini memasuki fasa kedua. Pelan tindakan lengkap telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Sejurus selepas insiden, pasukan petugas khas ditubuhkan bagi menyelaras tiga fasa utama iaitu penyelamatan, pemulihan dan pembinaan semula. 

Fasa pertama telah selesai manakala fasa kedua pembersihan kawasan akan bermula hujung minggu ini, melibatkan kira-kira 2,000 anggota Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor.

"Jadi kerja-kerja pembinaan ini kita sudah siap sepenuhnya pelan tindakan. Pelan tindakan telahpun saya serahkan kepada Perdana Menteri semalam menerusi nota khas Jemaah Menteri. Kita akan membuat pengumuman dalam secepat mungkin setelah saya berbincang dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Petronas dan kita akan umumkan," katanya.

Kerajaan MADANI melalui pengumuman Perdana Menteri, komited untuk memulihkan dan membina semula kawasan terjejas demi kebajikan rakyat.

TETITIA YUSOFF