KUANTAN, 8 Mei - Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan perancangan jangka panjang untuk mengatasi masalah hakisan pantai di negeri itu.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata pihaknya sedang mengenal pasti isu dan kaedah penyelesaian melalui pelan pengurusan garis pantai bersepadu.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui JPS sekali lagi telah mengemukakan permohonan projek pengawalan hakisan pantai dalam Rolling Plan 5 (RP5), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
"Kerajaan Negeri juga melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengemukakan permohonan untuk mengatasi masalah hakisan pantai di beberapa tempat di kawasan Rompin dan kawasan kawasan terlibat.
"Dalam permohonan tersebut Kampung Genting, Tioman, Kampung Salang, Tioman, Kampung Air Batang Tioman, Kampung Pantai Bernas, Pantai Mempisang di Kampung Teluk Gading Pantai Sungai Lumpur di Kampung Jawa, Pantai Kampung Seringkin dan projek pengawalan hakisan di Kampung Kuala Pontian," kata Fakhruddin.
Beliau menjawab soalan ADUN Tioman Datuk Seri Johari Hussain ketika sesi pertanyaan lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini.
Tambah beliau, ketika ini Pantai Tanjung Pahang dan Pulau Kampung Mukut di Pulau Tioman telah siap sepenuhnya dilaksanakan Projek Pengawalan Hakisan Pantai.