fb fb fb fb fb

Pahang komited pastikan pembangunan inklusif untuk seluruh rakyat

Foto BERNAMA

KUANTAN, 17 September- Negeri Pahang terus membuktikan peranannya sebagai sebahagian penting dalam pembangunan negara bawah naungan Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menerusi gagasan Aspirasi Pahang 1st, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan pembangunan yang inklusif, seimbang dan menyeluruh. 

Menurut beliau, pihaknya terus memberi fokus utama kepada setiap lapisan masyarakat, sama ada bandar mahupun desa, kawasan FELDA, kampung tradisional dan pedalaman.

Malah, masyarakat Orang Asli turut menerima manfaat daripada agenda pembangunan negeri.

"Antaranya Projek Perumahan Rakyat Pahang iaitu rumah percuma kepada mereka yang layak menerimanya, Prima Pahang, Rumah Makmur Pahang serta Pangsapuri Pahangku bagi memastikan rakyat memiliki kediaman selesa.

"Di dalam inisiatif kebajikan inisiatif Makmur Pahang, sebanyak RM50.54 juta telahdiperuntukkan bagi membantu golongan memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Dataran Raub, dekat Raub Pahang.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Nazri Abu Bakar dan barisan Exco Pahang.

Selain itu katanya, tumpuan juga diberikan kepada pembangunan ekonomi berasaskan industri berteknologi tinggi, pelancongan lestari serta pertanian moden, di samping penyediaan biasiswa dan bantuan pendidikan untuk anak-anak Pahang. 

Semua usaha ini membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak pernah berhenti bekerja demi rakyat. 

Malah katanya, setiap inisiatif dirangka berpaksikan hasrat untuk menyantuni rakyat, seiring dengan tema Malaysia Madani: Rakyat Disantuni.

Kira-kira enam ribu pengunjung hadir memeriahkan sambutan tersebut.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello