KUANTAN, 3 Disember- Kerajaan Pahang akan memasang 160 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh negeri itu menjelang tahun 2025.
Ia sebagai langkah untuk membantu menambah pemilikan EV dalam kalangan rakyat Pahang.
Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, setakat ini, stesen pengecas di Pahang belum mencukupi.
"Setakat ini di PETRONAS ada, tetapi masih belum mencukupi. Sebab itu kita minta ditambahkan lagi, sebab bila kita bercakap pasal EV ini, ramai yang lahirkan rasa bimbang, mereka tidak dapat balik semula ke tempat mereka bertolak. Contoh dari Kuantan keluar pergi ke Cameron Highlands, mereka bimbang mereka tidak sempat patah balik sebab tidak ada tempat untuk mengecas. Sebab itu kita berusaha menambahkan lagi," kata Wan Rosdy ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pusat 4S Chery di Semambu, Kuantan, serta memandu uji model terbaharu EV keluaran syarikat itu.
Tambah beliau, pemasangan stesen pengecas akan dilakukan secara berfasa, dengan daerah Kuantan akan menerima lebih banyak stesen berikutan populasi penduduk ramai di daerah itu.
Katanya, jualan EV dijangka tumbuh empat kali ganda untuk tahun ini.
Malah, dengan inisiatif seperti cukai jalan percuma sehingga 2025 dan pengecualian duti import, jualan EV dijangka akan meningkat.