fb fb fb fb fb

Padah palsukan dokumen untuk gaji, wanita didenda RM10,000

KANGAR, 21 Februari - Seorang bekas Pembantu Tadbir sebuah sekolah menengah agama didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kangar di sini hari ini atas lima pertuduhan memalsukan dokumen untuk gajinya bagi tempoh lima bulan berturut-turut pada tahun lalu.

Nor Suhada Saad, 22, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ibrahim Osman.

Berdasarkan pertuduhan satu hingga lima, Nur Suhada menggunakan borang permohonan, surat arahan dan senarai pembayaran gaji bertarikh 17 April, 11 Mei, 18 Jun, 20 Julai dan 21 Ogos 2020 palsu berkenaan jumlah kenaikan pembayaran gaji dengan jumlah keseluruhan RM1,214.75.

Dia melakukan perbuatan itu di Bank Islam Cawangan Kangar di Kompleks Niaga Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), Jalan Utan Aji dan Jalan PKENPs, Kangar pada 17 April, 13 Mei, 18 Jun, 13 Julai dan 5 Ogos 2020.

Ibu kepada tiga orang anak itu didakwa bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Ikhwan Mohamad Nasir dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Peguam tertuduh memohon mahkamah memberikan hukuman denda yang paling minimum kepada anak guamnya atas alasan dia kini tidak mempunyai pekerjaan tetap bagi menyara kehidupannya selepas dibuang kerja akibat perbuatannya itu.

Dalam rayuannya, walaupun sudah berkahwin dia terpaksa menjalani kehidupan berumahtangga secara jarak jauh disebabkan suaminya bertugas sebagai penjawat awam di Kuala Lumpur dengan gaji sekitar RM1,200 sebulan.

Bagaimanapun pendakwaan memohon mahkamah memberikan satu hukuman setimpal atas kesalahan yang dilakukan memandangkan pemalsuan dokumen adalah satu kesalahan yang serius dan perlu mengambil kira kepentingan awam berbanding peribadi tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 untuk kesemua pertuduhan dan tertuduh membayar denda yang dikemukakan mahkamah itu.

Media Baharu