SINTOK, 2 Julai – Penganjuran program Seminar Kajian Media atau OSEM 2024 bukan sahaja melengkapi kerja kursus Ijazah Sarjana Muda Teknologi Media tetapi bermatlamat menambah pengalaman sebelum mahasiswa menamatkan pengajian dan memasuki industri.
Penasihat Projek OSEM 2024, Prof. Madya Dr. Norsiah Abdul Hamid berkata, menerusi program ini, semua pelajar tahun akhir perlu membentangkan projek atau kajian mereka bukan sahaja kepada pensyarah tetapi wakil industri.
“Pengalaman itu membolehkan mahasiswa Teknologi Media, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) menimba pengalaman secara terus daripada pihak industri yang memberi komen-komen membina terhadap hasil kerja mereka. Bagi saya, ini merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan lagi pengalaman mahasiswa memandangkan mereka sudah berada di tahun akhir dan bakal menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM),” jelas beliau.
Bagi tahun ini, seramai 82 pelajar membentangkan projek tahun akhir merangkumi penerbitan dokumentari dan penyiaran, penyelidikan akademik dan pengiklanan serta kempen di bawah tema Masa Hadapan Media: Cabaran, Trend dan Inovasi.
“Menerusi sesi ini, setiap mahasiswa diberi masa 15 minit bagi membentangkan projek tahun akhir untuk dinilai. Tahun ini adalah kali kelima OSEM dianjurkan untuk memberi nilai tambah kepada mahasiswa SMMTC khususnya pengajian Teknologi Media. Untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran kepada mahasiswa, pihak kami sentiasa menambah baik modul dan pelaksanaan program untuk melahirkan modal insan yang menepati kehendak industri dan pasaran terutama bidang media yang mengalami perubahan pesat disebabkan ledakan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI),” tambah Dr. Norsiah lagi.
Salah seorang mahasiswa, Aenull Mardziah Adrie berkata, pengisian program OSEM memberi impak positif kerana membantu meningkatkan kemahiran pengucapan awam sekaligus memberikan keyakinan diri untuk menyampaikan idea kepada khalayak.
“Melalui sesi soal jawab dengan penilai, setiap maklum balas yang diterima, membolehkan saya memperbaiki kelemahan dalam penghasilan dokumentari saya yang bertajuk, “Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku”. Proses itu merupakan salah satu kaedah pembelajaran yang saya anggap berkesan kerana pihak yang memberi komen terhadap hasil karya saya bukan hanya pensyarah tetapi juga pihak industri,” jelas Aenull.
Bagi seorang lagi mahasiswa, Afiq Amsyar Saifuddin yang menghasilkan dokumentari bertajuk “Di Sebalik High At Sik” berkata, penglibatan pihak industri bagi sesi pembentangan projek tahun akhir membantu membentuk keperibadian ketika berdepan dengan khalayak.
“Saya perlu membuang rasa malu supaya kelihatan yakin semasa proses pembentangan. Walaupun, ia adalah kali pertama saya bertemu dengan penilai dari industri, saya perlu bersikap profesional dan membentangkan hasil kerja dengan lancar,” jelas beliau.
Menurut Muhammad Ariff Ilham Suhaidi pula, sesi berkenaan memberi peluang kepadanya mendengar sendiri pandangan pengamal media terhadap hasil karyanya.
Menerusi cara itu, beliau dapat meningkatkan lagi kualiti dari segi penghasilan dokumentarinya yang bertajuk “Makam Diraja Langgar: Singgahsana Terakhir Pemerintah Kedah”.