fb fb fb fb fb

Remaja maut dalam kemalangan empat buah motosikal

Keadaan motosikal mangsa yang dipercayai hilang kawalan dalam kemalangan melibatkan tiga lagi motosikal di Jalan Padang Matsirat, malam tadi.

LANGKAWI, 2 Julai- Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dalam kemalangan melibatkan tiga lagi motosikal di Jalan Padang Matsirat, malam tadi.

Dalam kejadian itu mangsa, Muhammad Naqib Rashidi, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata pihaknya menerima laporan kemalangan dari orang awam pada pukul 11.30 malam.

"Ketika kejadian, Muhammad Naqib dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan malam bersama rakan-rakannya.

"Hasil siasatan mendapati motosikal dinaiki mangsa dari Kampung Perana menuju ke Kuah hilang kawalan sebelum terbabas sehingga melanggar pembahagi jalan menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya," katanya.

Tambah Shariman, tiga penunggang motosikal dari arah sama gagal mengawal kenderaan ekoran jarak dekat telah melanggar motosikal mangsa yang berada di tengah jalan.

Jelasnya, akibat perlanggaran itu, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultanah Maliha Langkawi untuk rawatan.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI