KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Orang ramai diingatkan supaya sentiasa cakna berkenaan fenomena El Nino dan Monsun Timur Laut, yang dijangka berlaku serentak November ini.
Ketua Penolong Pengarah Pusat Iklim Nasional MetMalaysia, Amirul Nizam Marodzi berkata kemuncak El Nino juga, dijangka berlaku semasa permulaan musim hujan yang dijangka pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
Menurut Amirul, El Nino dijangka mencapai puncaknya pada hujung tahun atau pun awal tahun hadapan.
Pada waktu tersebut negara berada dalam Monsun Timur Laut bermula November hingga Mac, yang membawa lebih banyak hujan lebat di negeri pantai timur, Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu beliau mengingatkan orang ramai, untuk lebih peka dengan semua maklumat berkaitan cuaca daripada agensi-agensi berkaitan, terutama MetMalaysia.
Katanya kepekaan orang ramai terhadap keadaan cuaca dan informasi penting bagi membolehkan mereka merancang aktiviti harian dan bagi mengelak daripada kejadian tidak diingini.
(FOTO HIASAN/FOTO RTM)