TANJUNG KARANG, 29 Mac - Bekalan beras negara masih stabil dan konsisten meski wujud sekatan dan gangguan seperti perubahan cuaca yang tidak menentu.
Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee walaupun sasaran awal pengeluaran adalah sebanyak 70%, negara berjaya mencapai 63 peratus pengeluaran beras tahun lalu.
"Walaupun ada sekatan dan juga gangguan tetapi kita masih mendapat bekalan yang konsisten oleh BERNAS sebagai perantara untuk membawa beras dari negara luar. Jadi setakat ini, tiada gangguan dan bekalan stabil", katanya, di sini hari ini.
(Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)
"BERNAS mempunyai hubungan perniagaan dengan pihak pengeksport luar. Jadi itu yang di laporkan dan rakyat Malaysia tidak perlu risau tentang bekalan beras negara."
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Kolaborasi (MOC) Antara Pihak FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. (FGV) dan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) serta Pelancaran Beras Wangi Malaysia, di Tanjung Karang, Selangor.
Tambahnya di peringkat domestik, MAFI khususnya menerusi Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) sentiasa dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil beras ke tahap yang lebih tinggi.
Ia mampu meningkatkan pendapatan pesawah, meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah serta penggunaan teknologi secara cekap.
Beliau turut mengharapkan agar lebih ramai pesawah dan pemilik tanah sawah untuk terlibat dalam program berkenaan.