(Foto Hiasan)
KUALA LUMPUR, 5 Mei- Orang ramai disaran mengubah rutin harian dan menyesuaikan diri dengan cuaca semasa.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dr Thahiratul Asma' Zakaria berkata ini bagi mengelak kejadian penyakit berkaitan haba seperti kelesuan haba’ (heat exhaustion) atau lebih teruk, ‘strok haba’ (heat stroke).
Menurutnya, dengan mengenal pasti tanda-tanda penyakit, rawatan kecemasan boleh diberikan.
Sekali gus dapat mengelak perkara tidak diingini daripada berlaku.
"Kita masih berada di tahap satu iaitu tahap berjaga-jaga, maksudnya suhu kita masih berada pada tahap 35 hingga 37 darjah...kita belum sampai tahap yang dipanggil gelombang haba.
"Walaubagaimanapun pada tahap satu ini kita pun perlu berjaga-jaga sebab sudah rasa panas, yang penting kita kena ubah rutin harian bersesuaian dengan cuaca semasa," katanya.
(Dr Thahiratul Asma' Zakaria)
Beliau ditemui selepas menjadi tetamu program terbitan RTM di Angkasapuri.
Setakat ini katanya, terdapat satu kes kematian yang disahkan akibat strok haba.