KUALA LUMPUR, 5 Mei - Golongan Mahasiswa antara yang perlu diberi perhatian menerusi terapi psikologi terutama selepas cuti perayaan Aidilfitri.
Ini berikutan terdapat segelintir pelajar yang gagal menguruskan masa, masalah kewangan dan faktor lain sehingga menyebabkan golongan ini berdepan masalah tekanan dan kemurungan.
Menurut Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Haslinda Abdullah, kebanyakan mahasiswa gagal memanfaatkan masa memandangkan mereka berdepan peperiksaan selepas pulang bercuti.

"Kita sudah bergembira selama seminggu atau dua minggu...mahasiswa terutamanya yang ada peperiksaan dan sebagainya. Mahasiswa ini...satu masalah dia urus masa...bila pengurusan masa tidak betul dia akan terkait, terganggu dari segi emosi dia...marah hendak mengamuk dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Tambah Dr Haslinda, bagi pelajar yang perlukan terapi psikologi, mereka boleh mendapatkan bantuan dengan kadar segera di pusat Kaunseling universiti bagi tujuan sokongan dan panduan.