BANTING, 5 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan soal tuntutan saman fitnah yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk diurus pihak peguamnya.
“Biar peguam jalankan tanggungjawabnya,” katanya ketika mengulas ringkas pertanyaan pemberita mengenai tuntutan saman berkenaan.
Tun Dr Mahathir hari ini mengemukakan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Pelaksanaan Sebuah Idealisme’ pada Mac lalu.
Tuntutan saman berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi firma guaman Tetuan Law Practice of Rafique dengan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.
Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa makan tengah hari bersama rakyat setempat di Restoran Selera Tujuh di Banting.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor, Borhan Aman Shah yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Anwar kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek As-Solihin, Kampung Kanchong Darat.
Beliau mendengar khutbah, bertajuk ‘Adab Bertamu Ketika Berpuasa’ bersama jemaah lain yang disampaikan Imam masjid berkenaan, Rumaizi Ahmad.
(Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek As-Solihin, Kampung Kanchong Darat, Banting)