SEREMBAN, 5 Mei - Dua beradik maut dalam satu nahas kemalangan yang berlaku di Kilometer 257.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku lebih kurang pukul 7.05 minit pagi apabila sebuah lori jenis Hino yang membawa muatan makanan haiwan dipandu seorang lelaki berumur 49 tahun sedang bergerak di lorong kiri lebuhraya dari arah Pulau Pinang menuju ke arah Melaka.
Ketika di lokasi kejadian, sebuah motosikal jenis Yamaha Y16 yang ditunggang seorang lelaki berumur 29 tahun bersama penumpang lelaki Melayu berumur 25 tahun dari arah lorong kecemasan telah mengubah haluan masuk ke lorong kiri dan melanggar bahagian belakang lori terlibat.
Akibat pelanggaran, kedua-dua mangsa penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
(FOTO FAIL)
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Kedua-dua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk pengendalian bedah siasat dan kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.