fb fb fb fb fb

Orang ramai dinasihat tidak guna media sosial untuk salur aduan berkaitan bekalan - Fuziah

(Fuziah Salleh ketika membuat pemeriksaan OPS Jamin di sebuah pasar raya di Selangor)

CHERAS JAYA, 18 Oktober- Orang ramai dinasihat supaya tidak menggunakan media sosial untuk membuat aduan berkaitan bekalan barangan keperluan, sebaliknya mengemukakan maklumat berkenaan menerusi saluran rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, aduan yang disampaikan di media sosial hanya akan melambatkan lagi proses tindakan kementerian terhadap aduan tersebut.

"KPDN sudah buka satu aduan bekalan iaitu kod QR untuk aduan bekalan barangan keperluan, di mana siasatan akan dijalankan oleh penguat kuasa KPDN dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.

"Jadi saya mohon supaya (netizen) tidak menggunakan saluran sosial media. Kalau betul-betul nak sampaikan maklumat itu, sampaikanlah kepada KPDN dan kita boleh mengambil tindakan dengan segera," katanya kepada media selepas membuat pemeriksaan OPS Jamin di sebuah pasar raya, di sini.

Saluran aduan berkenaan dihubungkan terus kepada talian hotline WhatsApp khas dan boleh didapati di laman sesawang rasmi KPDN.

Fuziah berkata, setiap aduan yang diterima kementerian akan disalurkan kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya.

"Kalau kita terima aduan tidak ada beras, kita akan bantu sampaikan kepada KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan).

"Tetapi kalau kita terima aduan beras tempatan ditampal beras import contohnya, itu boleh kita siasat di bawah Akta Perihal Dagangan dan saya nak maklumkan bahawa siasatan (mengenainya) sudahpun dimulakan," katanya.

1810 FUZIAH ADUAN(Fuziah Salleh)

Media Baharu