fb fb fb fb fb

Orang ramai boleh imarah wakaf menerusi perbankan di BSN

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 31 Oktober - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) menjalin kerjasama strategik dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi membuka peluang kepada masyarakat mengimarahkan ibadah wakaf menerusi platform perbankan di BSN.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar setiap sumbangan wakaf yang terkumpul menerusi kerjasama itu akan ditukar kepada aset tetap atau ‘ayn yang boleh memberi impak dan manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya.

"Pendeposit di BSN tersebut boleh memberikan wakaf secara tunai dan kemudian jumlah wakaf tunai yang diberikan pewakaf tadi itu yang terdiri daripada pendeposit Bank Simpanan Nasional ini kemudiannya akan di tukar kepada áyn dalam bentuk fizikal. Ada empat penting iaitu pendidikan, solar tenaga, kesihatan dan pembangunan ekonomi," kata Dr Mohd Na'im.

Menurutnya, wakaf adalah sebahagian daripada komponen sektor kewangan sosial Islam dan ia bakal menjadi elemen terpenting dalam membangunkan ekonomi negara.

Selain itu, setiap sumbangan wakaf bawah Skim Wakaf Tunai Malaysia YWM itu juga diletakkan bawah Projek Berkepentingan Nasional, Kementerian Kewangan yang membolehkan setiap pewakafan tunai layak mendapat potongan cukai.

Menurut Dr Mohd Na'im, hingga kini sebanyak 18 projek ekonomi dan sosial telah dibangunkan di atas tanah wakaf yang memberi banyak manfaat kepada Majlis Agama Islam Negeri selaku
pemegang amanah tunggal dan masyarakat sekitarnya.

Bagi memastikan integriti dan pengurusan dana yang baik sebuah jawatankuasa bersama yang dianggotai Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan BSN akan ditubuhkan bertujuan mengawal selia pengurusan dan agihan dana wakaf.

Orang ramai boleh berwakaf menerusi perbankan internet yang disediakan BSN termasuk melalui QR DuitNow BSN dengan nilai serendah RM1.

TETITIA YUSOFF