fb fb fb fb fb

PGA terima pos kawalan baharu, perketat keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand

FOTO RTM

PADANG BESAR, 31 Oktober- Pasukan Gerakan Am (PGA) menerima Pos Kawalan Baharu dalam usaha bagi memperketat kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.

Pembinaan pos baharu PGA ini telah mula dilaksanakan pada 23 Februari tahun lalu dan siap pada 3 April lalu oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) selaku Agensi Pelaksana.

Menurut Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, pembinaan pos kawalan baharu dibuat berikutan kerja-kerja pelaksanaan Projek Pelabuhan Darat (PIP) Perlis hasil usahasama Kerajaan negeri melalui Menteri Besar Incorporation (MBI) dengan syarikat Mutiara Perlis Sdn.Bhd. (MPSB) di atas tanah seluas 500 ekar dengan anggaran kos pembangunan keseluruhan RM1.2 billion.

Pelaksanaan projek PIP ini melibatkan 3 insfrastruktur sokongan luaran PIP yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan iaitu jalan kepungan, jejambat dan jajaran keretapi yang turut melibatkan kerja-kerja perobohan tiga pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) sedia ada.

"Dengan perobohan pos-pos PGA sedia ada ini, pembinaan pos-pos PGA baharu telah dibina semula di atas tanah yang dikenalpasti dengan mengambil kira keperluan dan kehendak semasa pihak PGA bagi memastikan penugasan dan operasi pihak PGA tidak terjejas.

"Seperti mana kita sedia maklum bahawa PGA adalah pasukan penting yang ditugaskan untuk menjaga dan mengawal sempadan negara dan kemudahan asas lengkap di pos baharu ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anggota-anggota PGA dan dapat memberikan keselesaan kepada pegawai dan anggota bertugas", katanya.

Mohd Shukri berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Baharu Bagi Projek Kemudahan Infrastruktur Luaran Untuk Perlis Inland Port (PIP) kepada Pasukan Gerakan Am di Pusat Perniagaan Bersepadu, Projek Pembangunan Lembah Chuping (CVIA) di sini.

Pos kawalan baharu ini diserahkan pihak NCIA kepada Komander Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Nordin Manan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD