(FOTO KPDN)
KUALA LUMPUR, 9 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur telah berjaya menyita dan merampas sebanyak 28,073 liter cecair disyaki diesel melalui Ops Tiris.
Jelas Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin, rampasan tersebut merupakan hasil serbuan yang dilakukan pada 4 Oktober lalu atas maklumat unit risikan.
"Untuk kes kali ini kita telah tahan seramai empat warga tempatan di mana dua darinya merupakan pekerja di stor terbabit manakala seorang pemandu lori dan juga seorang pemilik stor haram.
"Kesemuanya ditahan dan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan iaitu diesel tanpa memiliki lesen yang sah dan juga disyaki menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan,"katanya.
Tambah beliau, 1,000 liter diesel berjaya dirampas pada hari berikutnya dengan nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM32,950.
Setakat ini, KPDN Kuala Lumpur telah membuka sebanyak tujuh kertas siasatan melibatkan 11 tangkapan warganegara dan anggaran keseluruhan barang rampasan sebanyak RM296,632.70.
(FOTO KPDN)
(FOTO KPDN)
(Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin)