fb fb fb fb fb

Konflik Palestin-Israel: Malaysia kekal pendirian hak mutlak Palestin dikembalikan

(FOTO AFP)

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Malaysia kekal dengan pendirian agar rakyat Palestin dikembalikan hak mutlak, bebas daripada pendudukan haram Israel.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata ini termasuk hak untuk mengembalikan tanah yang dirampas oleh zionis dan hak membentuk sebuah negara Palestin merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Beliau berkata, Malaysia terbuka dan akan terus menyokong segala usaha konkrit dan realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.

(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi)

"Penyelesaian ini hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) serta memenuhi teras-teras yang telah dinyatakan dahulu.

"Ini juga termasuk memberi sokongan terhadap keabsahan rakyat Palestin membentuk sebuah negara yang bebas dari pencerobohan Israel yang berterusan dalam meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan usul berhubung perkembangan semasa konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat, di sini.

Tambah Ahmad Zahid, pendirian lantang dan tegas negara kerap kali dinyatakan secara jelas di setiap lapangan, keadaan dan masa.

Ini termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Tabung Akaun Amanah Kemanusian Rakyat Palestin (AAKRP) sejurus selesai sesi penggulungan isu berkenaan Palestin ketika persidangan Dewan Rakyat. 

Media Baharu