ALOR SETAR, 22 April- Sebuah kenderaan jenis van persendirian ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan menyalahgunakan lesen kenderaan motor bagi tujuan perkhidmatan awam.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, sepasukan anggota Unit Operasi Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Kedah telah menahan sebuah van bagi tujuan pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan awal mendapati van berkenaan telah membawa penumpang dengan mengambil sewa upah bagi tujuan menjalankan perkhidmatan awam.
Pemandu dan pemilik kenderaan akan dipanggil bagi siasatan lanjut.
(Foto fail)
Tindakan berkenaan merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.