fb fb fb fb fb

Operasi SAR tanah runtuh Batang Kali, boleh dijadikan contoh pengurusan bencana

BATANG KALI, 25 Disember- Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berharap Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Batang Kali boleh dijadikan model atau contoh yang boleh diguna pakai agensi-agensi terlibat dalam pengurusan bencana untuk menghadapi sebarang kejadian seumpama itu pada masa akan datang. 

Operasi SAR di Batang Kali yang bermula 16 Disember lalu ditamatkan secara rasmi tengah hari tadi.

Keputusan dibuat setelah polis mengesahkan tiada lagi mangsa yang terlibat atau hilang dalam kejadian berkenaan.

"Saya percaya ini merupakan satu-satunya operasi yang menyaksikan penglibatan setiap agensi yang terlibat memainkan peranan yang sesuai seperti yang telah digariskan oleh Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN20) (Panduan Pengurusan Bencana di Malaysia). Jadi tiada pertindihan tugas ketika SAR dilakukan.

"Saya juga berharap agar pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dapat mengadakan rundingan bersama dan berkala melibatkan semua agensi dalam menghadapi situasi seperti ini di masa akan datang."

(Acryl Sani Abdullah Sani)

Bagaimanapun, faktor cuaca dan bentuk muka bumi menjadi cabaran terbesar pasukan misi SAR tragedi tersebut.

Perkara itu dapat diatasi dengan bantuan dan kerjasama baik daripada semua agensi terlibat sepanjang 10 hari misi dijalankan.

"Antara cabaran yang kita tempuhi sepanjang SAR ini adalah cuaca yang tidak menentu dan keduanya keadaan kawasan tragedi yang berisiko tinggi. Itulah cabaran utama dalam operasi ini.

"Hasil kerjasama daripada semua pegawai dan anggota terlibat termasuk aset-aset jentera sangat baik. Hampir 12 jentera diterima daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk pihak swasta," katanya pada sidang media sebelum menamatkan operasi SAR.

Operasi SAR dalam tragedi terbabit menyaksikan lebih 250 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi yang turut dibantu unit anjing pengesan (K9) selain penggunaan jentera berat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terbabit termasuk NGO sepanjang SAR diaktifkan.

Media Baharu