fb fb fb fb fb

NADMA fokus operasi pembersihan dan penyiasatan tragedi Batang Kali

MACHAP BARU, 26 Disember- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kini fokus kepada operasi pembersihan di kawasan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) NADMA, Datuk Khairul Shahril Idris, penyiasatan berkaitan kejadian pada 16 Disember lalu akan diteruskan.

Bagaimanapun jumlah anggota terlibat dikurangkan mengikut keperluan tugasan.

"Jadi perkara ini akan dibincangkan dengan komander bertugas di tempat kejadian sebelum melaksanakan operasi pembersihan dijalankan.

"Bagi mengenal pasti mangsa yang terlibat, terdapat beberapa cara yang digunakan antaranya mendapatkan maklumat daripada pihak pengurusan pusat peranginan berkenaan,"katanya di sini.

(Khairul Shahril Idris)

NADMA juga akan segera menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa terlibat dalam insiden tanah runtuh itu, selain bertemu ahli keluarga mangsa bagi menyegerakan proses penyerahan sumbangan.

Tragedi tanah runtuh pada pukul 2.42 pagi di batang kali itu meragut 31 nyawa, manakala 61 yang lain terselamat.

Orang ramai diminta supaya terus bersiap siaga kerana negara masih lagi belum keluar sepenuhnya dari tempoh fenomena Monsun Timur Laut 2022/2023.

Media Baharu