TANJUNG MANIS, 5 April- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa kejadian bot karam di perairan Tanjung Jerijeh diteruskan hari ini.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, operasi melibatkan radius pencarian seluas 20.2 batu nautika.
Jelasnya empat buah aset daripada pasukan penyelamat digerakkan untuk SAR tersebut.
Kaedah selaman juga dilakukan di kawasan bot karam oleh tujuh penyelam daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sungai Merah Sibu.
"Enam krew bot yang karam tersebut sempat mengambil jaket keselamatan sebelum terjun ke laut, lima daripada mereka dijumpai selamat dan terapung berdekatan bot, manakala seorang lagi dilaporkan hilang.
Mangsa yang belum ditemui dikenali sebagai Wong Pak Wei berusia 25 tahun," katanya.
(Pasukan penyelamat mendengar taklimat berkaitan operasi SAR seorang lagi mangsa
yang masih hilang)
Terdahulu, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching telah mengaktifkan operasi SAR pada pukul 12.45 tengah hari semalam setelah menerima laporan sebuah bot karam di Perairan Tanjung Jerijeh.
Berdasarkan maklumat daripada salah seorang mangsa yang terselamat, mereka telah dilanda ribut sekitar pukul 6.30 petang Isnin yang mengakibatkan bot mereka terbalik.