(FOTO JBPM)
LUMUT, 24 September- Operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang dipercayai lemas ketika mandi di Pantai Teluk Senangin, Lumut, ditangguhkan pada pukul 6.30 petang tadi.
Mangsa yang lemas dikenali sebagai Muhammad Fahmi Hafizi Mohd Fadzli berusia 19 tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung kejadian pada pukul 9.58 pagi.
Setibanya di lokasi, orang awam memaklumkan terdapat seorang remaja telah lemas ketika mandi di laut.
Operasi mencari dan menyelamat kemudian digerakkan dengan menggunakan empat bot Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis dibantu nelayan tempatan.
Pukat sepanjang 100 meter juga dipasang di kawasan mangsa dipercayai jatuh bagi memudahkan usaha pencarian.
Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Pangkor dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut menggunakan teknik surface searching di sekitar kawasan persisiran pantai.
Pos kawalan bomba dikekalkan untuk membuat pemantauan pesisir pantai pada waktu malam.
Operasi akan disambung semula pagi esok.
(FOTO JBPM)