fb fb fb fb fb

Operasi SAR mangsa tanah runtuh Batang Kali disambung semula pagi ini

BATANG KALI, 17 Disember- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm diteruskan dengan tumpuan terhadap penggunaan jentera berat atau jengkaut bagi mengalihkan tanah dan pokok besar yang tumbang ketika kejadian.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Datuk Nor Azam Khamis, operasi tertumpu di dua daripada tiga sektor kawasan pencarian iaitu sektor B (kem Farmview) dan sektor C (berhampiran kem Riverside).

Jelas beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan lokasi mangsa terakhir ditemukan antara dua lokasi tersebut semalam.

Datuk Nor Azam berkata, empat jengkaut akan digunakan dan operasi hari ini bergantung kepada keadaan cuaca dan tanah.

"Cabaran utama semalam dan hari ini adalah kestabilan runtuhan tanah berikutan terdapat aliran air dalam tanah serta kedudukan cerun 45 darjah selain ketebalan runtuhan tanah yang mencecah kedalaman 20 hingga 30 kaki.

Tiada pergerakan tanah dilaporkan namun masih terdapat aliran air dan keadaan tanah yang lembut dikhuatiri menyebabkan pergerakan dan gelinciran tanah," katanya kepada pemberita di pusat operasi pasukan penyelamat, di Jalan Genting di sini.

(Operasi SAR di di tapak perkhemahan Father's Organic Farm diteruskan
melibatkan lebih 150 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi)

Tambah beliau, operasi hari ini melibatkan lebih 150 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Insiden berlaku sekitar 2.42 pagi semalam melibatkan runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter.

Setakat tengah malam tadi, 12 orang dilaporkan masih hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.

Media Baharu