(FOTO FAIL/ BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 11 Mei- Perkhidmatan operasi tren di enam stesen LRT yang melibatkan Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur akan dibuka semula, esok.
Ia susulan kerja pembaikan sementara (fasa pertama) struktur jejambat dan landasan yang rosak berhampiran stesen LRT Bandaraya telah selesai.
Rapid Rail dalam kenyataannya memaklumkan,tren-tren yang perlu menjalani proses penyelenggaraan telah dibawa ke depoh LRT di Ampang dan tren - tren gantian digunakan bagi tujuan perkhidmatan operasi.
"Serentak dengan pembukaan stesen-stesen tersebut, perkhidmatan bas LRT 11, 13 dan 14 akan ditamatkan.
"Kerja-kerja pembaikan menyeluruh (fasa kedua) struktur landasan dijangka akan siap sepenuhnya pada pertengahan Oktober ini dan seterusnya operasi perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling akan kembali beroperasi secara normal," menurut kenyataan itu.
Bagi melancarkan perjalanan penumpang, Rapid Rail akan mengaktifkan semula perkhidmatan bas perantara percuma (Bas LRT 10) yang akan menghubungkan Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandaraya akibat daripada gangguan perkhidmatan di antara kedua-dua stesen berkenaan.
Perkhidmatan bas perantara ini akan beroperasi menggunakan 10 buah bas dengan kekerapan setiap 10 minit.
Penumpang – penumpang juga mempunyai pilihan untuk menggunakan laluan rel alternatif yang mana penumpang yang ingin menuju ke Hang Tuah, boleh menaiki Laluan Monorel melalui Stesen Titiwangsa.
Sementara penumpang yang ingin menuju ke Chan Sow Lin, boleh menaiki Laluan MRT Putrajaya melalui Stesen Titiwangsa.
Penumpang juga digalakkan menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan mengikuti laman media sosial Rapid KL untuk mendapatkan info terkini.
Pada 2 April lalu, operasi perkhidmatan LRT di enam stesen yang tersebut telah diberhentikan kerana tidak dapat lagi memenuhi kriteria pengoperasian dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.
Faktor kegagalan ini adalah disebabkan oleh tren-tren tersebut tidak dapat kembali ke depoh bagi menjalani kerja-kerja penyelenggaraan.