LABUAN BAJO, 11 Mei- Dalam kesibukan menghadiri mesyuarat berkaitan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-42, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat melakukan kunjung hormat dan pertemuan bilateral dengan beberapa rakan sejawatnya.
Antara pemimpin yang ditemui termasuklah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Timor Leste, Taur Matan Ruak dan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.
Datuk Seri Anwar dalam kunjungan hormat ke atas Sultan Brunei menyampaikan hasrat Malaysia untuk menjemput Brunei ke Annual Leaders Consultation yang akan dihoskan Malaysia tahun ini.Â
Perbincangan juga tertumpu kepada bidang pelaburan, penandaan tanah, kerjasama dalam kebudayaan dan pendidikan untuk dimanfaatkan kedua-dua negara.
Dalam pertemuan bilateral dengan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh pula, Perdana Menteri menyampaikan keterbukaan Malaysia menerima kehadiran delegasi mereka ke Putrajaya sempena ulangtahun ke-50 kedua-dua negara.
Perbincangan turut menyentuh bidang pelaburan selain berharap agar isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dapat ditangani setegasnya.
(FOTO FBÂ anwaribrahimofficial)
Kesepakatan untuk menjalin lebih banyak kerjasama dalam bidang perbankan, program latihan pegawai dan diplomat selain pendidikan serta industri agrikultur antara yang dipersetujui dalam pertemuan dua hala Datuk Seri Anwar bersama rakan sejawatnya, dari Laos Sonexay Siphandone.
Dalam pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Timor Leste pula, Perdana Menteri mengulangi sokongan penuh berkaitan permohonan republik itu dalam keanggotaan keluarga ASEAN.
Malah, perbincangan turut menyentuh tentang keperluan meningkatkan peluang kerjasama dalam pelaburan, perdagangan, agrikultur dan bidang pembuatan makanan yang menuntut kebersamaan serta komitmen berterusan kedua-dua negara.