fb fb fb fb fb

Op TBC: JPJ Selangor fokus 23 kawasan kerap kemalangan

SHAH ALAM, 19 Januari- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor akan memfokuskan penguatkuasaan di 23 kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di negeri itu sepanjang Operasi Tahun Baharu Cina (Op TBC), bermula semalam.

Antara lokasi dikenal pasti kerap berlaku kemalangan ialah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Selat Klang Utara, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Jalan Meru dan Jalan Bukit Kemuning.

Menurut Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya, operasi penguatkuasaan yang bermula 18 hingga 27 Januari itu melibatkan 325 anggota JPJ.

"Kita telah mengenal pasti sembilan kesalahan utama dan lima kesalahan tambahan serta larangan pemandu kenderaan barangan.

"Antara sembilan kesalahan itu ialah memandu melebihi had laju, gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu kenderaan berat di lorong laju, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, mengikut rapat kenderaan hadapan, membawa lebihan muatan dan penggunaan telefon bimbit semasa memandu," kata Khairul Khar selepas melancarkan Op TBC di Terminal 17, Seksyen 17, di sini.

Tambah beliau lima kesalahan tambahan ialah tidak memakai topi keledar, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu secara berbahaya, memandu tanpa lesen dan memandu tanpa insurans.

Jelasnya lagi antara aktiviti penguatkuasaan lain yang dijalankan adalah melakukan penyamaran sebagai penumbang bas, pemeriksaan terminal serta depoh bas, penguatkuasaan khas motosikal, pengurusan aduan dan advokasi.

Hasil penyamaran sebelum ini mendapati ada pemandu bas yang merokok, tidak memakai kasut dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, malah pihaknya juga pernah mengesan pemandu bas yang bermain ‘game’ semasa memandu.

Perbuatan tersebut amat berbahaya dan boleh mengakibatkan kemalangan.

(Datuk Khairul Khar berkata JPJ Selangor akan memfokuskan 23 kawasan kerap kemalangan)

Media Baharu