JOHOR BAHRU, 26 Jun- Lebih 40 buah lori semburan air bertekanan tinggi atau ‘waterjet’, sedia diatur-gerak sempena kempen Op Tanpa Debu di seluruh Johor, bermula bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata operasi dilancarkan bagi memastikan lokasi-lokasi tumpuan orang ramai, kekal bersih dan bebas debu, selaras persiapan Tahun Melawat Johor (TMJ) 2026.
Terdahulu, inisiatif tersebut telah berjaya dilaksanakan di Puteri Harbour, Iskandar Puteri dan Laman Kreatif, Kluang.
Ini termasuk Dataran Kembara, di Mersing serta lokasi terbaharu, Legaran Segget, Johor Bahru yang selesai dibersihkan semalam.
"Kami di SWCorp cuba untuk membawa pendekatan baharu ini ke negara, dengan memberi fokus kepada kawasan-kawasan pelancongan.
Ini kerana kita tahu kebersihan dan juga keindahan menerusi kawasan-kawasan tanpa debu ini akan dapat menarik lebih ramai lagi pelancong-pelancong untuk berada di kawasan sekitar," kata Khalid kepada pemberita.
Kempen turut disokong Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), yang menggerakkan tiga lori air bertekanan tinggi, sebuah lori pembersihan jalan dan 15 anggota pembersihan.