fb fb fb fb fb

Op Starlight digerak, kendali Hospital Medan Malaysia di Turkiye

(FOTO FB JHEV ATM)

KUALA LUMPUR, 10 Februari- Angkatan Tentera Malaysia ATM telah menggerakkan Operasi Starlight (Op Starlight) melibatkan anggota perubatannya bagi misi Hospital Medan Malaysia Tahap 3 di Turkiye.

Sesi penghantaran kumpulan pertama, terdiri daripada 36 pegawai dan anggota beserta peralatan hospital medan seberat 44 tan, dihantar dari Pangkalan Udara Subang pukul 3.00 pagi tadi, bagi tempoh pengoperasian selama enam minggu.

Menurut hantaran di laman Facebook Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, seramai 106 pegawai dan anggota ATM diketuai Brigedier Jeneral Datuk Dr Amran Amir Hamzah sebagai Pemerintah Operasi, akan diterbangkan ke Turkiye menerusi tiga fasa penghantaran bermula hari ini menggunakan pesawat A400 dan pesawat komersial.

Hospital medan tersebut akan ditempatkan di Adiyaman dengan kapasiti 60 buah katil dan turut dilengkapi dengan kemudahan wad, bilik pembedahan, unit rawatan rapi (ICU), radiologi dan makmal.

Ia juga menawarkan sembilan kepakaran iaitu Primer, Orthopedik, Pembedahan, Anesthesia, Maxilo-Facial, Obsterik & Ginekologi, Pediatrik, Opthalmologi dan Perubatan Kecemasan.

Hospital berkenaan dikoordinasi bersama Kedutaan Turkiye di Malaysia, Kementerian Luar Negeri Malaysia, dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Usaha tersebut bagai membantu kerajaan Turkiye dari segi perubatan dan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat yang terjejas akibat gempa bumi yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria.


(FOTO FB JHEV ATM)

Media Baharu