fb fb fb fb fb

Op Selamat kurangkan kadar kemalangan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun

KOTA BHARU, 8 April- Polis Kelantan menjangkakan pertambahan lebih tiga kali ganda jumlah kenderaan memasuki negeri itu sempena cuti perayaan Aidilfitri.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tumpuan Op Selamat kali ini, mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, selain kes pecah rumah semasa ketiadaan penghuni.
 
Beliau berkata, pihaknya akan menempatkan petugas trafik di 66 kawasan 'black spot' yang sering berlaku kemalangan antaranya di Pasir Mas, Machang, Pasir Puteh dan Tumpat.
 
Kawasan 'hot spot' yang kerap berlaku kesesakan pula membabitkan 30 kawasan antaranya di Machang, Gua Musang dan Kuala Krai.

"Fokus kita adalah mengerakkan penugasan mengikut kesesuaian. Kita sudah buat kajian di mana hot spotnya, di mana tempat yang selalu berlaku kesesakan yang nyata, contoh Kok Lanas di Kelantan, kita sejak awal meletakkan anggota di situ, berapa ramai dan masa-masa tertentu", katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Selepas Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Op Selamat sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 di hadapan Balai Polis Binjai, di Kota Bharu hari ini.
 
Datuk Muhamad Zaki memberitahu, polis Kelantan akan menempatkan anggotanya di kawasan yang sering mengalami kesesakan termasuk susur keluar.
 
Langkah itu bertujuan melancarkan aliran trafik supaya bergerak lancar sekali gus mengurangkan kesesakan.

ROSLINA BINTI DIN