KUANTAN, 20 Julai – Sebanyak 139 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan dan 19 motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan sekitar bandar raya Kuantan dan Jalan Kuantan Bypass bermula pukul 10 malam hingga 6 pagi tadi.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Penguasa Polis (Supt) Mohd Adli Mat Daud, sebanyak 60 buah motosikal ditahan dalam operasi berkenaan, melibatkan penunggang dan pembonceng berusia antara 13 hingga 22 tahun.
“Semua notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen, ubah suai kenderaan, dan tidak memakai topi keledar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam operasi sama, pihak polis turut menahan sepasang individu yang melakukan aksi berbahaya ‘wheelie’ menggunakan motosikal.
Penunggang berusia 20 tahun yang bekerja sendiri bersama pembonceng wanita berusia 24 tahun yang tidak bekerja telah dibawa ke Balai Trafik Kuantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Supt Mohd Adli menegaskan, polis akan terus melaksanakan operasi berterusan dalam usaha membanteras aktiviti samseng jalanan demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.