BUKIT KATIL, 9 Januari-Sebanyak 4,874 kenderaan telah diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan dalam Operasi Khas 'Gempur Teknikal'
Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 847 kenderaan diambil tindakan sejak 25 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff, berkata sebanyak 1,069 notis dikeluarkan kepada pihak syarikat, pemilik dan pemandu atas pelbagai kesalahan undang-undang.
"Terdapat 177 notis larangan penggunaan kenderaan (PG 1), 219 notis arah periksa 61(1) pada kenderaan. 44 notis arah timbang di bawah seksyen 63(1) APJ 1987 dan 8 notis di bawah seksyen 82(1) APAD 2010.
"Empat notis temu siasat telah dikeluarkan di bawah Seksyen 114 APJ 1987 dan 3 buah kenderaan telah disita dalam tempoh ini", katanya demikian kepada pemberita selepas Operasi Khas Lebih Muatan Dan Operasi Teknikal Melibatkan Kenderaan Barangan (KPB) dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) di sini.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 35 kenderaan telah ditimbang dan 28 kenderaan didapati melebihi muatan manakala satu motolori disita atas pelbagai kesalahan.
Beliau menggesa pihak syarikat, pemilik dan pemandu KPB dan KPA untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan termasuk meningkatkan tahap kawalselia keselamatan operasi kenderaan komersial bagi memastikan ekosistem jalan raya sentiasa selamat kepada pengguna jalan raya yang lain.