fb fb fb fb fb

Presiden Indonesia tiba di Malaysia untuk lawatan kerja

Presiden Indonesia Prabowo Subianto tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA/ BERNAMA

SEPANG, 9 Januari- Presiden Indonesia Prabowo Subianto tiba di sini untuk lawatan kerja sehari ke Malaysia.

Pesawat yang membawa Prabowo serta delegasi tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.15 pagi.

Ketibaan beliau di sambut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono.

Beliau kemudiannya melintasi barisan kawalan kehormatan statik oleh 28 pegawai serta anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Kapten Raja Azri Syahir.

Prabowo dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta makan tengah hari di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur, sebelum berangkat pulang ke Indonesia sekitar pukul 3.00 petang ini.

Wisma Putra menerusi kenyataan berkata lawatan itu mencerminkan hubungan istimewa antara kedua-dua negara yang ditunjangi oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosio-budaya, pertahanan dan keselamatan.

Kedua-dua pemimpin akan membincangkan kerjasama dua hala, selain meneroka potensi kerjasama baharu bagi memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

ROSLINA BINTI DIN