fb fb fb fb fb

Lebih 14,000 KIR Kelantan berjaya keluar daripada miskin tegar

Foto hiasan / RTM

KOTA BHARU, 9 Januari-Kelantan berjaya menokhtahkan isu kemiskinan di negeri itu apabila lebih 14,000 Ketua Isi Rumah (KIR) berjaya dikeluarkan daripada kemiskinan tegar.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) merangkap Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kejayaan itu dicapai menerusi dua fasa yang dilaksanakan pada tahun lalu.

Katanya ia juga hasil pelbagai usaha dilaksanakan Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Kelantan.

“Fasa Pertama melibatkan 12,280 KIR miskin tegar tahun 2023 yang berjaya dinoktahkan pada 1 Julai 2024 seperti arahan yang ditetapkan oleh Perdana Menteri pada Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kelantan pada 2 Mei 2024.

"Bagi merealisasikan aspirasi kerajaan, Negeri Kelantan sekali lagi telah berjaya menoktahkan miskin tegar fasa kedua pada 31 Disember 2024 yang melibatkan seramai 1761 KIR.

"Tetapi dari semasa ke semasa kita akan pantau sebab dia ada pasang surut dari segi bilangan miskin tegar ini", katanya demikian kepada pemberita selepas mengadakan Sesi Perjumpaan Khas Bersama Ketua Jabatan Persekutuan di sini hari ini.

Hadir sama,  Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan Jasri Kasim dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Terdahulu dalam ucapannya Nik Nazmi berkata, jumlah kemiskinan yang dinamik memerlukan strategi dan usaha yang berpanjangan oleh semua pihak sekaligus memberikan makna yang besar dalam kehidupan kumpulan sasaran.

Pada 2 Mei lalu, Datuk Seri Anwar semasa berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong memberi tempoh dua bulan kepada agensi kerajaan persekutuan iaitu  ICU JPM bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk menokhtahkan miskin tegar di Kelantan.

Ketika itu, terdapat kira-kira 1,000 KIR yang tergolong dalam kumpulan miskin tegar.

Sementara itu, Mik Nazmi turut berkata Kerajaan persekutuan meluluskan 454 projek tahun lalu dan daripada jumlah itu, 114 telah siap sepenuhnya.

Jelasnya, beberapa projek berstatus siap pelaksanaan termasuk Projek Pembesaran dan Naiktaraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Fasa 1, Pembinaan Hospital Bachok, Pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli dan Pembangunan Kolej Komuniti Jeli yang baharu.

Menurut beliau, beberapa projek berimpak tinggi di negeri itu juga telah memulakan pelaksanaan.

"Beberapa projek berimpak tinggi di Negeri Kelantan juga telah dimulakan di Kelantan pertama ialah fasiliti sukan bagi SUKMA sebab kelantan akan jadi tuan rumah.Pembinaan Jambatan Palekbang, ketiganya, Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kota Bharu.

Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3 dan Fasa Terakhir Projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

"Ini dijangka siap pada pertengahan tahun 2025..yang sekarang yang kita tenguk yang siap ialah fasa 1", katanya.

Tambah Nik Nazmi, kerajaan persekutuan meluluskan 115 lagi projek baru di Kelantan menerusi Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Keduabelas (RMKe-12) tahun ini daripada 467 projek keseluruhan.

Jumlah itu menjadikan kos semasa projek pembangunan di Kelantan sebanyak RM25.7 bilion

Katanya, jumlah peruntukan yang kekal tinggi bagi projek-projek pembangunan menunjukkan kerajaan persekutuan masih komited dalam meningkatkan kesejahteraan dan merapatkan jurang sosioekonomi rakyat di negeri itu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD