KUALA LUMPUR, 23 Disember - Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian atau Online Safety Act (ONSA) disifatkan sebagai langkah penting kerajaan dalam memperkukuh keselamatan digital negara, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan institusi keluarga daripada ancaman siber yang semakin meningkat.
Ketua Program Media dan Komunikasi di Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Sabariah Mohamed Salleh menjelaskan, akta tersebut diwujudkan ketika kes penipuan dalam talian, buli siber serta pendedahan kanak-kanak dan remaja kepada kandungan berbahaya semakin membimbangkan.
“Akta ini boleh membantu mengurangkan penularan kandungan berbahaya dan menyokong usaha membanteras eksploitasi kanak-kanak, khususnya melalui platform digital,” katanya.
ONSA meletakkan perlindungan kanak-kanak dan keluarga sebagai keutamaan utama, termasuk usaha membanteras penyebaran kandungan ekstremis, penipuan digital serta eksploitasi kanak-kanak secara dalam talian.
Bagaimanapun beliau menegaskan, ONSA bukan penyelesaian menyeluruh, sebaliknya perlu disokong dengan pendidikan berterusan kepada masyarakat, ibu bapa dan pengguna internet melalui kempen Internet Selamat.
Usaha itu termasuk meningkatkan kesedaran mengenai perkongsian kandungan secara berhemah, pemahaman tetapan privasi serta keupayaan mengenal pasti kandungan yang meragukan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Media dan Komunikasi UKM, Dr Muhammad Adnan Pitchan menekankan, pelaksanaan ONSA perlu dilihat dari sudut perlindungan pengguna, bukan sekadar kawalan terhadap platform digital.
Kanak-kanak hari ini terdedah kepada pelbagai ancaman termasuk buli siber, penipuan dan kandungan tidak sesuai, sedangkan mereka masih belum mampu membezakan kandungan selamat dan berbahaya.
“Oleh itu, tanggungjawab tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada ibu bapa, sebaliknya penyedia platform juga perlu bertanggungjawab terhadap algoritma dan aliran kandungan yang dikawal,” katanya.
Tambah beliau, kebebasan bersuara bukan lesen untuk membahayakan pihak lain dan pelaksanaan ONSA bukan bertujuan menyekat suara rakyat, sebaliknya memastikan kebebasan tersebut dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Akta Keselamatan Dalam Talian dijangka dapat mewujudkan ruang digital yang lebih selamat, beretika dan kondusif, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga di negara ini.