fb fb fb fb fb

CUEPACS mahu penilaian prestasi dilaksana secara adil, berintegriti

Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Disember- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik usaha penambahbaikan sistem perkhidmatan awam yang memberi penekanan kepada prestasi sebagai salah satu elemen utama penilaian.

Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata pelaksanaan penilaian prestasi itu dibuat secara adil, berintegriti dan menyeluruh, khususnya melibatkan pegawai yang telah lama berkhidmat dan berpengalaman dalam perkhidmatan awam.

"Pegawai berpengalaman yang telah berkhidmat bertahun-tahun merupakan aset penting kepada perkhidmatan awam. Sumbangan mereka bukan sahaja dari segi hasil kerja, malah melibatkan pengalaman, kepakaran, komitmen serta peranan membimbing pegawai baharu."

"Justeru, semua aspek ini wajar diambil kira secara seimbang dalam proses penilaian," kata Datuk Dr. Adnan dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pegawai penilai memikul tanggungjawab besar untuk melaksanakan penilaian secara objektif, telus dan bebas daripada sebarang unsur pilih kasih.

Mengulas lanjut, aspek penilaian prestasi, perlu dibuat berdasarkan merit sebenar, prestasi keseluruhan, sikap profesional, pengalaman serta sumbangan berterusan kepada organisasi dan perkhidmatan awam.

Dalam masa sama, CUEPACS berpandangan sistem penilaian yang adil dan menyeluruh mampu meningkatkan keyakinan penjawat awam, memupuk motivasi kerja yang sihat serta memastikan keadilan kepada semua lapisan pegawai tanpa mengira tempoh perkhidmatan.

Tambah beliau, CUEPACS akan terus memantau pelaksanaan sistem penilaian prestasi bagi memastikan ia benar-benar menghargai sumbangan pegawai lama serta menyokong usaha memperkasa perkhidmatan awam demi kepentingan negara dan rakyat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM