TANJUNG DAWAI, 24 Oktober - Lebih 10 buah rumah di pesisir pantai Kuala Muda mengalami kerosakan teruk akibat kejadian ombak besar di Tanjung Dawai, Kedah pada Rabu lalu.
Setakat ini, polis menerima 29 laporan oleh penduduk kampung berhubung kejadian itu.
Seorang penduduk terjejas, Roshidee Mohd Noor, 38, mendakwa sebelum ini terdapat hutan paya bakau di belakang rumahnya, namun hilang sedikit demi sedikit berikutan hakisan yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Susulan hakisan, rumahnya kini hanya terletak kira-kira 20 meter sahaja dari laut dan beliau berharap benteng hakisan segera dibina.
Roshidee antara penduduk yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Chong Cheng Tanjung Dawai.
Sementara itu, Ketua Polis Balai Tanjung Dawai, Mohd Fadzli Fitri Jamailudin mengesahkan, pihaknya terus menjalankan pemantauan di sekitar kawasan Kampung Huma, Tanjung Dawai.