MEKAH, 19 Mei- Nusuk-Pilgrim Gift Expo memberi peluang kepada jemaah haji Malaysia mengetahui lebih lanjut mengenai pameran dan jualan produk serta barangan keperluan sempena musim haji kali ini.
Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, pada masa sama aktiviti itu juga membolehkan jemaah haji memahami budaya perniagaan syarikat-syarikat tempatan di Arab Saudi.
"Ini adalah satu peluang untuk jemaah kita mengetahui dengan lebih lanjut dan memahami budaya perniagaan syarikat-syarikat tempatan di sini.
Mereka turut membekalkan pelbagai barangan untuk kemudahan dan keperluan masyarakat di sini," kata Mohd Hisham kepada pemberita, di sini.
Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama syarikat Al Musbah menyediakan pengangkutan bas untuk kemudahan jemaah mengunjungi program tersebut yang berlangsung dari 15 Mei hingga 19 Mei ini.
Selain itu, jemaah haji juga boleh mendapatkan barangan keperluan dan cenderamata pada harga yang berpatutan untuk dibawa pulang ke tanah air.