fb fb fb fb fb

NS bina Pelabuhan Kontena Pintar AI di Port Dickson

Foto BERNAMA

SEREMBAN, 4 Mac- Kerajaan Negeri Sembilan hari ini menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi projek pembinaan Pelabuhan Kontena Pintar AI pertama di Malaysia di Teluk Dickson, Port Dickson.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun berkata pemeteraian perjanjian antara Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) dan Tanco Holdings Berhad bakal menyaksikan pembangunan transformatif di negeri itu merangkumi peluang pekerjaan, peningkatan nilai hartanah dan pembangunan zon perindustrian baharu.

"Teknologi AI yang akan digunakan semestinya akan memberi impak bagi mengoptimumkan operasi dalam keseluruhan rantaian perkhidmatan marin dan kargo seperti pendaftaran masuk dan keluar kapal, penjadualan pergerakan kapal serta pengesanan operasi marin di sekitar pelabuhan."

"Ini akan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kesilapan manusia serta kadar kemalangan semasa operasi," kata Aminuddin kepada pemberita selepas majlis menandatangani MOU Pelabuhan Kontena AI pertama Malaysia di Seremban.

Pelabuhan berkeluasan keseluruhan 480 ekar itu melibatkan kos bernilai RM2 bilion.

Dilengkapi dengan jeti sepanjang 1.8 kilometer, terminal dan kawasan pengoperasian kontena seluas 200 ekar yang dioperasikan secara automatik.

Kapasiti pelabuhan itu dibina dengan kedalaman 30 meter untuk menerima kapal kontena daripada generasi pertama hingga ke 'ultra max'.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM