IPOH, 17 Februari- Datuk Noor Hisam Nordin dilantik sebagai Ketua Polis Perak baharu berkuat kuasa hari ini.
Beliau merupakan bekas Timbalan Ketua Polis Pahang menggantikan Datuk Azizi Mat Aris yang bersara wajib pada 8 November lalu.
Jawatan Ketua Polis Perak sebelum ini dipangku Zulkafli Sariaat yang juga Timbalan Ketua Polis Perak.
Majlis serah terima tugas berkenaan berlangsung di Mes Pegawai Kanan Perak, Ipoh disaksikan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad.
Turut diadakan majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Kebajikan Polis (Perkep) negeri antara Datin Noormawati Abdul Latip dan Zaleta Ibrahim dengan disaksikan Datin Seri Norliah Othman.
Noor Hisam, 58 tahun, pernah memegang beberapa jawatan antaranya Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, Timbalan Ketua Staf Operasi Darat dan Timbalan Ketua Staf Pasukan Khas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).