fb fb fb fb fb

Lebih 17,000 wanita terima manfaat menerusi program rangsang ekonomi

Datuk Seri Nancy Shukri

KUALA LUMPUR, 17 Februari- Seramai 17,290 wanita menerima manfaat menerusi pelbagai program bagi merangsang status ekonomi selepas kehilangan ketua rumah tangga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menjelaskan sebanyak 734 program dilaksanakan untuk membantu wanita dalam aktiviti ekonomi.

Ia melibatkan pelbagai kursus dan latihan, serta bimbingan mengenai pengurusan kewangan dalam bidang keusahawanan.

"Antara contoh program yang dilaksanakan bagi memperkukuh ekonomi kaum wanita khususnya ibu tunggal dan suri rumah yang kehilangan ketua rumah tangga ialah program berasaskan konsep ekonomi kitaran iaitu Program Ekonomi Pembangunan Mampan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Program ini merupakan sebahagian daripada program kemahiran dengan matlamat menjana pendapatan peserta melalui penghasilan produk yang mempunyai nilai komersial dari sumber bahan-bahan terbuang atau terpakai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkenaan pelaksanaan program sokongan bagi merangsang status ekonomi kaum wanita dan keluarga yang kehilangan ketua rumah tangga serta statistik kumpulan itu yang terdapat dalam Parlimen Kuala Kedah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI