
BANGI, 18 Januari -Majikan dan pemilik premis, khususnya yang terlibat dengan aktiviti gas dan bahan kimia, digesa memperkukuh pematuhan undang-undang serta amalan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
- Majikan dan pemilik premis mesti memperkukuh pematuhan undang-undang serta amalan keselamatan untuk aktiviti gas dan bahan kimia.
- NIOSH menawarkan khidmat nasihat percuma, latihan, audit KKP, semakan SOP dan CHRA untuk meningkatkan keselamatan.
- Pencegahan menyeluruh termasuk penilaian risiko, kawalan kejuruteraan, SOP, kompetensi pekerja dan kesiapsiagaan kecemasan amat penting.
Pengarah Eksekutif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Datuk Ayop Salleh dalam kenyataan berkata, ia termasuk latihan pekerja dan pengurusan pengendalian, penyimpanan dan pengangkutan bahan berbahaya.
Menurut beliau, NIOSH bersedia menawarkan khidmat nasihat pakar secara percuma, latihan, audit keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), semakan prosedur operasi standard (SOP) serta penilaian risiko bahan kimia atau Chemical Health Risk Assessment (CHRA) bagi membantu organisasi meningkatkan tahap keselamatan.
“Beberapa insiden kebocoran dan letupan gas baru-baru ini menekankan kepentingan latihan dan pengurusan risiko bagi mengelak tragedi.
“Aktiviti melibatkan gas dan bahan kimia memerlukan pendekatan pencegahan menyeluruh, termasuk penilaian risiko, kawalan kejuruteraan, prosedur kerja selamat (SOP), kompetensi pekerja dan kesiapsiagaan kecemasan,” katanya menerusi kenyataan itu.
Beliau turut merujuk insiden kebocoran gas amonia di Plaza Tol Seremban pada 15 Januari serta letupan sistem pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara pada 12 Januari sebagai peringatan bahawa kegagalan mengawal pendedahan gas dan bahan kimia berbahaya boleh mengakibatkan kecederaan serius dalam tempoh singkat.