fb fb fb fb fb

NIMP 2030: Pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 1 September - Pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), mengukuhkan kedudukan Malaysia, sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

Memerlukan anggaran pelaburan mencecah RM95 bilion, sepanjang tempoh tujuh tahun pelaksanaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pelan berkenaan menyediakan hala tuju yang jelas untuk pembangunan sektor pembuatan.

" NIMP 2030 berpadukan pendekatan berdasarkan misi. Ia juga merupakan satu polisi bersifat horizontal yang bukan sahaja menggembleng keseluruhan ekosistem pembuatan tetapi juga seluruh negara untuk memacu transformasi perindustrian dan merealisasikan visi negara", ujarnya ketika berucap pada pelancaran NIMP 2030 di ibu negara.

Menurut Anwar, NIMP akan dilaksanakan melalui pendekatan seluruh negara yang bukan sahaja melibatkan jentera kerajaan tetapi juga sektor swasta.

Justeru, tadbir urus awam-swasta bakal diwujudkan bagi memastikan pelaksanaan itu tepat pada masanya dan berkesan.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan NIMP 2030, menggunakan pendekatan berasaskan misi jelas yang akan merangsang bukan sahaja keseluruhan ekosistem pembuatan, tetapi juga memacu transformasi perindustrian.

Projek-projek yang dijalankan, dijangka mempercepat pembangunan ekosistem inklusif menyepadukan perusahaan kecil dan sederhana, PKS ke dalam rantaian nilai dan meningkatkan keseluruhan industri.

Tambahnya, pelan berkenaan bakal meningkatkan nilai tambahan pembuatan kepada RM587.5 bilion menjelang 2030.

"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 61 peratus yang diperolehi oleh intervensi NMP 2030 untuk sektor berimpak tinggi E&E, kimia, EV, aeroangkasa dan bahan seperti mineral dan logam", ujar Anwar.

Pelan induk baharu itu, menyaksikan lebih banyak projek berasaskan misi, MBP dalam tempoh terdekat.



(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Media Baharu