fb fb fb fb fb

Gaji rakyat lebih baik antara fokus NIMP 2030 - PM

(Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR, 1 September- Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) merupakan komponen utama Ekonomi MADANI yang menyokong realisasi pembaharuan ekonomi, sekali gus bakal menyediakan peluang pekerjaan dengan kadar gaji lebih baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pekerjaan dengan gaji yang lebih baik dan perkongsian kekayaan akan membina masyarakat yang lebih adil dan makmur.

“Peluang pekerjaan bernilai tinggi penting untuk menaik dan memperluaskan masyarakat kelas pertengahan.

“Kerjasama awam-swasta akan dipertingkatkan dalam program TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), memastikan pemerolehan kemahiran yang diperlukan oleh industri," katanya semasa melancarkan NIMP 2030 di sini.

Pelan itu bakal menghidupkan semula sektor pembuatan bagi memastikan negara kekal berdaya saing, serta meletakkan Malaysia sebagai kuasa ekonomi serantau.

Menerusi NIMP 2030, gaji median atau penengah upah untuk sektor pembuatan dijangka naik 9.6%, mencecah RM4,510 daripada RM1,976.

Sektor pembuatan berdiri sebagai kuasa penting untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara dengan menjadi penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang menyediakan pekerjaan bagi 2.7 juta individu.

Anwar berkata, kerajaan komited sepenuhnya untuk menyokong pelaksanaan NIMP 2030 yang memerlukan anggaran jumlah pelaburan sebanyak RM95 bilion sepanjang tempoh tujuh tahun pelaksanaannya.

Pelaburan itu sebahagian besarnya daripada sektor swasta, digunakan daripada ekuiti swasta, modal dan pasaran kewangan.

"Hampir 10% akan diperuntukkan oleh kerajaan untuk membantu memangkin dan memberi insentif kepada pelaburan ini melalui Dana Pembangunan Perindustrian NIMP dan Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP.

“Kerajaan akan memastikan ia dilaksanakan secara teliti. Kami akan menubuhkan Majlis NIMP 2030 Negara dengan penyertaan daripada wakil kementerian dan industri berkaitan,” katanya.

Hadir sama pada pelancaran itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Isham Ishak dan pemain industri.

(Anwar Ibrahim (tengah) bersama Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (kanan)
dalam 
pelancaran NIMP 2030 di Kuala Lumpur)

Media Baharu