fb fb fb fb fb

Nilai kerosakan akibat ribut dan hujan di Pendang cecah RM234,000 - Exco

PENDANG, 21 Mac- Kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di sekitar Daerah Pendang, Kedah, dua hari lalu melibatkan anggaran nilai kerosakan mencecah kira-kira RM234,000.

Ia berdasarkan bancian awal yang dilakukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membabitkan 91 buah rumah yang terjejas melibatkan 349 penghuni.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kebajikan Negeri Kedah, Dato' Halimaton Shaadiah Saad berkata dua buah rumah masing-masing melibatkan nilai kerosakan berjumlah RM15,000.

Tiga rumah melibatkan nilai kerosakan berjumlah RM10,000 dan 14 rumah melibatkan nilai kerosakan berjumlah RM5,000 manakala 34 rumah melibatkan nilai kerosakan berjumlah RM2,500 dan 38 rumah melibatkan nilai kerosakan berjumlah RM500.


(Kerosakan bumbung rumah penduduk akibat ribut di Pendang)

"Penyerahan barang pasca bencana juga diberi kepada penduduk terjejas oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Pendang. Saya berharap penduduk yang belum membuat laporan polis dan JKM agar segera berbuat demikian bagi memudahkan bantuan seterusnya disalurkan kepada penduduk yang terlibat."

"Selain rumah penduduk, balai polis, sekolah, pejabat pos, klinik kesihatan, pusat kokurikulum dan masjid turut mengalami kerosakan dalam kejadian tersebut," kata Halimaton kepada media selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang terlibat bencana alam itu di Felda Sungai Tiang, di sini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri merangkap ADUN Sungai Tiang, Dato' Suraya Yaacob. Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM300 telah diserahkan kepada 14 keluarga.

Hujan lebat selama dua jam yang berlaku pada petang Sabtu lalu menyebabkan bumbung rumah penduduk tercabut dan diterbangkan angin sejauh beberapa meter manakala sebahagian rumah penduduk lagi rosak akibat dihempap pokok yang tumbang.

Media Baharu