KIGALI, 24 Julai - Nilai integriti dan semangat patriotik terbukti menjadi pemangkin utama kepada kejayaan sesebuah negara ke arah sebuah negara maju dan berdaya saing di peringkat global.
Perkara tersebut menjadi fokus utama dalam sesi lawatan dan libat urus Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama tiga agensi utama kerajaan Rwanda, iaitu Rwanda Governance Board (RGB), Rwanda Development Board (RDB) dan Rwanda TVET Board (RTB) di Kigali, Rwanda bersempena program 'Safar Ilmi MAIPs 2025'.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor dalam kenyataan, ketiga-tiga agensi tersebut memainkan peranan strategik dalam melaksanakan visi pembangunan nasional yang berteraskan perpaduan, akauntabiliti dan kepimpinan berwawasan.
RGB bertanggungjawab memperkukuh tadbir urus negara menerusi sistem penilaian berprestasi seperti Rwanda Governance Scorecard yang menekankan aspek kebertanggungjawaban, ketelusan dan penyertaan rakyat.
Manakala, RDB berperanan sebagai pusat sehenti pelaburan dan pembangunan ekonomi negara yang menyatukan pelbagai fungsi termasuk ICT, pelancongan dan pembangunan sektor swasta, dengan inspirasi model agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura.
Dalam masa yang sama, RTB membuktikan bahawa pembangunan kemahiran teknikal dan vokasional berupaya mengubah nasib golongan belia dan menyumbang kepada pengurangan pengangguran serta peningkatan daya saing ekonomi.
Lawatan itu turut membuka ruang kerjasama masa hadapan dalam bidang latihan kemahiran, pembangunan kapasiti dan pemerkasaan institusi seumpama Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) selari dengan agenda MAIPs untuk membentuk rakyat berdaya tahan melalui pendekatan berteraskan nilai dan kemahiran.
Turut mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.