PUTRAJAYA, 26 April – Lebih 40 Pertubuhan Bukan Kerajaan (PBG) Islam atau Non-Governmental Organization (NGO) daripada pelbagai latar belakang berhimpun dalam satu Sidang Meja Bulat bagi membincangkan peranan organisasi dalam mendepani cabaran global pasca era Presiden Donald Trump.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menegaskan bahawa NGO Islam tidak seharusnya bergerak secara terpisah, sebaliknya perlu bertindak secara kolektif dan seiring.
"Kita membincangkan peranan NGO Islam dalam mendepani perubahan yang berlaku di dunia berikutan ketidaktentuan yang timbul, terutamanya selepas atau dalam era Presiden Donald Trump yang mempengaruhi ketidaktentuan global.
"Kita telah berjaya mengenal pasti isu-isu dan juga trend. Akhirnya, kita bersetuju dengan beberapa perkara yang perlu dilaksanakan, antaranya ialah kolaborasi antara NGO dan pendekatan yang berteraskan nilai," katanya ketika ditemui selepas Sidang Meja Bulat Masa Depan NGO Islam Mendepani Perubahan Tatanan Dunia yang berlangsung di sini.
Sidang tersebut turut menampilkan dua tokoh dari University of Leeds, Prof. Salman Sayyid dan Prof. Mustafa Sheikh daripada Iqbal Centre for Critical Muslim Studies.
Antara isu yang dibincangkan termasuk perubahan iklim, kemiskinan, krisis tenaga serta ancaman terhadap nilai masyarakat Islam dalam konteks perubahan geopolitik dunia.
Selain itu, kesepakatan perlu dicapai agar NGO Islam tampil dengan kerjasama yang tersusun, memperjuangkan nilai sejagat serta memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memimpin perubahan ke arah dunia yang lebih adil dan sejahtera.
Sidang berkenaan turut menjadi medan penting untuk merangka tindakan strategik jangka panjang bagi memperkukuh peranan NGO Islam di peringkat nasional dan antarabangsa.
Langkah itu dijangka dapat memperkukuh peranan NGO Islam sebagai agen perubahan global yang lebih strategik dan relevan.