fb fb fb fb fb

Nelayan mahu projek tambak laut selatan Pulau Pinang dibatalkan

(Ibrahim Che Ros bersama calon Bebas Datuk Seri Sabaruddin)

BAYAN LEPAS, 17 September - Projek mega tambak laut di kawasan selatan negeri Pulau Pinang perlu dibatalkan kerana ia mengundang pelbagai masalah terhadap kesejahteraan masyarakat nelayan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara), Ibrahim Che Ros berkata projek mega pembinaan tiga buah pulau yang dikenali sebagai Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) perlu dibatalkan apabila kerajaan baharu dibentuk.

Tegas beliau, ia perlu dilakukan segera berdasarkan keperitan yang akan dialami masyarakat nelayan di kawasan terbabit sekiranya projek mega berkenaan diteruskan.

"Bagi pihak kerajaan pusat, buat masa sekarang memang menyebelahi nelayan, dimana Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang terbaharu belum dikeluarkan lagi, sama ada statusnya (projek) lulus atau tidak," tambah Ibrahim Che Ros.

Mengambil pendekatan sama, calon Bebas P053 Balik Pulau, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad berkata, perjuangan untuk membatalkan projek berkenaan akan menjadi landasan utama membantu golongan nelayan.

Dalam pada itu, pelakon tanah air, Nasir Bilal Khan turut hadir menyatakan sokongan kepada nelayan di kawasan terbabit.

Jelas Nasir, projek mega berskala besar perlu memberi manfaat kepada masyarakat setempat, bukan sebaliknya.

"Bagi saya setiap negeri perlu buat pembangunan tetapi mestilah pembangunan untuk kesejahteraan rakyat, bukan pembangunan yang rakyat tidak boleh nak cari makan. Pembangunan biarlah selari dengan keperluan rakyat, pembangunan yang dapat sejahterakan hidup rakyat bukan sebaliknya," jelas Nasir.

Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini merancang untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 billion melibatkan projek Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan tiga buah lebuh raya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.

Bagi merealisasikan PTMP, kerajaan Pulau Pinang melaksanakan PSR yang kini dikenali sebagai Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) melibatkan tambakan kira-kira 1,821 hektar tanah, yang mana ia sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan PTMP bernilai RM46 bilion.


(Nasir Bilal Khan hadir menyatakan sokongan kepada nelayan)

Media Baharu